Fesyen Moden Terkini - MaxMara

Advertisement
JENAMA mewah Itali, MaxMara sering dikaitkan dengan kehidupan popular.

Bertapak lebih 55 tahun dalam dunia fesyen, MaxMara turut menterjemah kehidupan glamor legenda terkenal, Grace Kelly

yang dijadikan sebagai ikon utama kepada himpunan berkenaan.

Jenama yang diasas oleh pereka, Achille Maramotti, kebanyakannya memenuhi cita rasa wanita moden yang inginkan kemewahan dalam berfesyen.

Tidak keterlaluan dikatakan koleksi MaxMara menampilkan sesuatu yang mahal dan eksklusif.

Bagi wanita yang ingin tampil elegan dan mempesona, himpunan musim bunga kali ini antara pilihan yang tepat.

Pada musim ini, jenama antarabangsa ini menampilkan empat tema iaitu, To Catch A Thief, Riviera, Jet Set dan Grand Hotel.

To Catch A Thief menampilkan rekaan pakaian moden yang elegan dengan menyuai padan fesyen baju dan jaket sukan.

Himpunan yang terhasil daripada filem To Catch A Thief lakonan Kelly dan Cary Grant itu memaparkan fesyen mewah yang sering digayakan wanita ketika melancong ke luar negara.

Tidak ketinggalan himpunan pakaian kali ini sesuai untuk bersantai bersama teman di hotel serta restoran mewah.

Seperti koleksi MaxMara yang lain, ia masih kekal dengan ketelitian jahitan serta penggunaan fabrik mewah seperti sutera, kapas dan bercorak yang digunakan.

Kebanyakan koleksi kasual Maxmara mengetengahkan warna ceria seperti hijau, coklat, biru dan kuning.

Justeru, menggayakan koleksi ini ketika beristirehat atau bersantai amat tepat untuk gaya yang lebih ceria.

Di samping itu, tema Jet Set lebih menumpukan warna yang lebih garang dan cerah.

Kebiasaannya, fesyen ini lebih digemari wanita moden yang inginkan gaya yang lebih eksklusif.

Mana tidaknya, penampilan lebih menyerlah jika menggayakan himpunan ini di majlis keramaian yang dihadiri jemputan yang rata-ratanya memilih tema pakaian glamor.

Koleksi ini menampilkan rona cerah seperti kuning terang dan oren.

Tidak ketinggalan, MaxMara turut menampilkan koleksi untuk wanita yang lincah.

Himpunan Riviera sesuai untuk mereka yang inginkan penampilan lebih bergaya atau chic.

Tema ini serasi untuk wanita yang aktif dan bekerja tetapi masih menampakkan gaya yang anggun.

Pakaian ini boleh digayakan ke pejabat, mesyuarat atau berjumpa klien di luar pejabat.

Tampil dengan kepelbagaian warna, Riviera sesuai dipakai dalam apa jua majlis.

Koleksi Grand Hotel pula sesuai untuk wanita yang inginkan cita rasa mewah dan eksklusif.

Penonjolan gaya feminin dan romantik sesuai untuk wanita moden pada hari ini. tampil dengan warna sederhana seperti putih, merah samar, ungu, hitam dan kelabu, ia boleh digaya untuk menghadiri majlis makan malam.

Sementara itu, jenama yang ditubuhkan pada tahun 1951 telah melebarkan sayapnya di negara ini menerusi pembukaan butik di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur dan merupakan butik MaxMara terbesar di rantau Asia Tenggara.