Fesyen Songket dan Batik Tradisional Terkini

Advertisement
RANG Kelantan ke Terengganu?,'' soalan pertama saya semasa bertemu pemilik kedai songket Teh Collection, Roslina Maliki ketika berkunjung ke kedainya yang terletak di Arked Malindo, Jalan Tuanku Abdul Rahman baru-baru ini.

Kata Roslina, memang ramai yang menyangka beliau berasal dari Pantai Timur. Ini kerana kebiasaannya peniaga songket memang berasal dari Kelantan atau Terengganu, dua negeri yang giat mengusahakan songket yang merupakan tekstil tenun tradisional.

Bagaimanapun, perniagaan songket bukanlah hanya untuk peniaga dari Kelantan dan Terengganu sahaja. Malah, terdapat peniaga songket yang berjaya berasal dari negeri lain.

Lebih membanggakan apabila Teh Collection yang diterajui oleh Roslina dan dua adiknya, Siti Khatijah Maliki dan Noor Fariza Maliki dikenali ramai oleh pelanggan tetapnya sebagai 'Saudagar Songket'.

Memulakan bicara pagi itu, Roslina yang berasal dari Kedah berkata, sebenarnya sejak kecil beliau telah mula berjinak-jinak dengan perniagaan kain kerana mengikut bapa yang merupakan peniaga kain.

Katanya, beliau biasa tidur di dalam van ketika mengikut bapa yang berniaga kain di seluruh negeri Kedah.

Minat tersebut terbawa-bawa setelah dewasa dan setelah mendirikan rumah tangga. Tidak mahu membuang masa, Roslina memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah.

Perniagaan songket menjadi pilihannya kerana keindahan kain tersebut yang merupakan warisan tradisional dan tidak lekang dek panas serta tidak lapuk dek hujan. Selain itu, keluarga mentua yang berniaga kain dan songket turut menggalakkan beliau untuk menjual songket.

''Semasa berniaga di rumah, iaitu pada tahun 1995, sambutan yang diterima memang di luar jangkaan. Pelanggan bukan sahaja daripada Semenanjung malah saya mendapat banyak pelanggan baru daripada Sabah, Sarawak dan Brunei.

''Melihat kepada minat berniaga dan sambutan yang diterima, suami membantu mencarikan kedai setahun selepas itu supaya saya mempunyai tapak yang tetap bagi meluaskan perniagaan,'' kata isteri kepada Siswadi Abdul Hamid ini.

Bagaimanapun, kedai tersebut terpaksa ditutup apabila pemiliknya terpaksa menjual kedai itu. Roslina kemudian berpindah ke kedai yang ada sekarang dan daripada satu lot kini beliau memiliki dua lot.

Menurut Roslina, pelbagai jenis songket terdapat di Teh Collection termasuk songket Kelantan, Terengganu, India dan Pakistan.

''Songket Kelantan dan Terengganu lebih istimewa kerana berkualiti, tahan lama, ditenun tangan dan mengekalkan corak bunga tradisional seperti tampuk manggis, bunga lawang, bunga kesemak, corak tikar dan pucuk rebung. Songket tradisional mengambil masa di antara satu hingga tiga bulan untuk disiapkan.

''Daripada segi rekaan bunga, selain rekaan yang disediakan pembekal, saya turut membuat rekaan sendiri setelah berbincang bersama suami dan adik-adik. Ada juga pelanggan yang mahukan rekaan eksklusif,'' kata Roslina yang menjual songket paling mahal tenun tangan bercorak cobang berharga sehingga RM8,900.

Beliau menambah, pada masa kini, pelanggannya gemarkan songket yang bercorak bunga besar, berjalur dan kekotak bagi samping, kain panjang perempuan dan baju pasang bagi lelaki dan perempuan.

Kata Roslina, terdapat pelanggan yang menyukai songket India dan Pakistan kerana harganya yang murah.

Teh Collection mempunyai kilang songket sendiri di India dan Pakistan yang dibuat secara industri kampung.

''Tiga atau empat bulan sekali suami akan ke sana, memilih kain dan membawa corak rekaan yang dikehendaki mengikut kehendak semasa. Songket India dan Pakistan menggunakan kain jenis kapas dan kain kapas bercampur poliester,'' ujar ibu kepada seorang anak perempuan, Ainin Sofiya, 10 tahun.

Menurut Roslina yang telah 10 tahun berniaga songket di lokasi sekarang, pada hari ini, songket bukan sahaja dipakai semasa hari perayaan seperti hari raya atau perkahwinan tetapi dipakai pada hari Jumaat, ke pejabat, ke majlis rasmi dan tidak rasmi.

Justeru, songket daripada Saudagar Songket Teh Collection ini bukan sahaja laris semasa musim perayaan malah mendapat tender daripada jabatan kerajaan dan bank tempatan.

Pereka-pereka fesyen terkenal tanah air turut mendapatkan songket daripada Teh Collection bagi rekaan eksklusif mereka yang sering dipertandingkan dalam pertandingan rekaan fesyen tempatan dan antarabangsa.

Songket Teh Collection juga menjadi pilihan mereka bagi rekaan fesyen pengantin bagi golongan vip juga golongan biasa.

Selain songket untuk dewasa, Teh Collection juga mempunyai samping songket untuk kanak-kanak yang laris semasa musim perayaan.